PENGERTIAN ISLAM, IMAN DAN IHSAN
Islam dari segi bahasa berasal daripada kata dasar salama yang membawa maksud taat dan patuh, aman dan damai serta terlepas atau jauh daripada kekurangan kekurangan zahir dan batin. Manakala dari segi istilah syarak, Islam ialah tunduk, taat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. seperti yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Iman pula berasal daripada kata dasar al-amn yang bererti aman iaitu tiada rasa takut. Pengertian iman dari segi istilah ialah mempercayai Allah s.w.t. dan rasul-Nya dengan pengucapan lidah dan kepercayaan dalam hati tanpa rasa syak dan ragu.
Manakala ihsan pula ialah lawan kepada kalimah isa’ah (berbuat jahat). Ihsan bermaksud berbuat baik kepada manusia dan menghindari daripada melakukan perbuatan yang buruk dan jahat. Menurut Imam Nawawi, ihsan akan mendorong seseorang agar sentiasa ikhlas dalam beribadat dan mengerjakan ibadat kerana Allah s.w.t. semata-mata.
Tahukah anda, mengapa sebagai seorang Muslim, kita wajib tunduk kepada Allah s.w.t.? Jawapannya mudah. Ini adalah kerana maksud Islam dalam bahasa Arab ialah tunduk kepada Allah s.w.t. – Lisan al-Arab.
Bagi mendapatkan gambaran yang menyeluruh tentang ketiga-ketiga pergertian ini, kita perlu merujuk kepada sumber Islam yang sahih iaitu sebuah hadis yang terkenal yang diriwayatkan oleh Iman Muslim daripada Saidina Umar al-Khattab r.a seperti berikut:
Daripada Umar r.a. katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih kainnya, sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah s.a.w. dan meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua paha Nabi s.a.w.
Kemudian dia berkata: Hai Nabi Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Dia berkata: Benarlah engkau! Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.
Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah engkau!
Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.
(HR. Muslim)
Dalam hadis di atas, dijelaskan bahawa orang yang datang menghampiri Nabi Muhammad s.a.w. lalu duduk seperti orang yang sudah lama berkenalan dan bersahabat dengan Baginda ialah Malaikat Jibril. Kedatangan Jibril a.s. ialah untuk menyampaikan dan mengajar Rasulullah s.a.w. dan umatnya mengenai hakikat Islam, iman dan ihsan.
Apabila ditanyakan tentang Islam, Nabi Muhammad s.a.w. pun menjawab sebagaimana yang terkadung dalam hadis tersebut iaitu:
1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Mendirikan sembahyang.
3. Mengeluarkan zakat.
4. Berpuasa.
5. Mengerjakan haji di Baitullah jika ada kemampuan menurut syarak.
Rukun Islam
Seseorang Muslim mesti menghayati dan berpegang teguh kepada rukun Islam yang lima. Andai kata rukun-rukun Islam ini diaplikasikan dalam kehidupan dengan cara yang sebaik-baiknya, sudah tentu ia akan membawa kejayaan besar kepada diri individu, masyarakat dan negara.
Islam ialah agama Allah s.w.t. yang diwahyukan kepada Rasul-Nya untuk menjamin keselamatan hidup penganutnya. Dalam pandangan Islam, inilah agama yang mesti dipegang teguh oleh setiap manusia kerana ia merupakan agama kebenaran dan keredaan serta telah diberi jaminan oleh Allah s.w.t. Ini dibuktikan dalam firman-Nya yang bermaksud:
Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.
(Surah al-Imran: 19)
Setelah mengenali Islam dari segi asal maknanya, maka sekarang mari kita kenali Islam dari segi rukun-rukunnya, bermula daripada ucapan syahadah sehinggalah kepada ibadat haji. Seterusnya, kita akan memahami kesan dan relevannya penghayatan rukun Islam dalam kehidupan manusia.
Melafazkan syahadah
Syahadah (Penyaksian tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah) adalah pengucapan dua kalimah syahadah yang merupakan penyataan atau ikrar misi dan visi hidup seorang Muslim. Syahadah adalah pengucapan lidah yang melahirkan pengakuan hati dan keinginan jiwa terhadap ketuhanan dan keesaan Allah serta kebenaran Rasul-Nya Muhammad s.a.w. sebagai utusan terakhir yang membawa rahmat kepada keseluruhan alam.
Syahadah memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang Muslim kerana ia merupakan nur Islam. Selain itu, kalimah Syahadah ini dapat membezakan antara umat Islam dan kaum kafir yang lain. Kalimah Syahadah juga adalah syarat mutlak untuk umat Islam memasuki syurga.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Barang siapa yang mengakhiri kalamnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan lailahaillaallah maka dia masuk syurga.
(HR Muaz bin Jabal)
Lafaz kalimah syahadah ini juga merupakan kunci atau syarat utama sesuatu amalan atau ibadat itu diterima oleh Allah s.w.t. Di samping itu, lafaz kalimah syahadah merupakan syarat untuk mendapatkan syafaat daripada Rasulullah s.a.w. pada hari kiamat. Kalimah syahadah ini juga merupakan syarat perlindungan harta, jiwa dan kehormatan manusia.
Rasulullah s.a.w. turut bersabda:
Manusia yang paling beruntung mendapatkan syafaatku pada hari kiamat adalah barang siapa yang mengatakan ‘lailahailallah’ secara ikhlas dari hati dan jiwanya.
(HR. Bukhari)
Seterusnya, apabila anda sebagai seorang Islam yang telah mengakui dan bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah, maka anda mesti membuktikannya dengan melaksanakan semua amalan ibadat yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. dan dipraktikkan oleh para Rasul-Nya. Tahukah anda, apakah amal ibadat yang sangat penting dalam kehidupan manusia? Ya, amalan itu tidak lain dan tidak bukan ialah solat lima kali sehari.
Mendirikan solat
Mendirikan solat adalah satu perintah yang diwajibkan setiap hari ke atas umat Islam yang akil dan baligh. Solat ialah wahyu yang disampaikan secara terus oleh Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. melalui peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada bulan Ramadan.
Solat juga merupakan hubungan secara langsung antara kita dengan Maha Pencipta. Kita berkomunikasi dengan Allah s.w.t., melahirkan apa yang dirasa dan difikirkan sama ada rasa gembira atau sebaliknya. Sebagai hamba-Nya, kita boleh meluahkan apa sahaja yang kita rasai tanpa rasa bimbang atau khuatir rahsia itu akan diketahui oleh orang lain. Allah Maha Pendengar dan Maha Penyayang. Oleh itu, jika kita dalam kesusahan, berdoalah nescaya Allah s.w.t. akan tenangkan hati dan fikiran kita.
Tujuan solat
1. Solat mendidik manusia supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t. dan mematuhi perintah-Nya.
2. Solat boleh memelihara manusia daripada melakukan kejahatan.
3. Solat akan memberi ketenangan jiwa.
4. Solat akan memberi kejayaan kepada orang mukmin tetapi solat itu hendaklah dilaksanakan dengan penuh khusyuk.
Hikmah solat
1. Menghampiri diri kepada Allah s.w.t.
2. Menguatkan keimanan dan ketakwaan.
3. Mendidik diri supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t.
4. Memberi kecerdasan jasmani, kecerdasan akal dan meningkatkan kualiti rohani.
5. Bersyukur kepada Allah. s.w.t.
Kepentingan solat banyak dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Qur’an. Terdapat 130 ayat yang menekankan kewajipan mendirikan solat, hikmah mendirikan solat dan hukuman yang akan diterima jika meninggalkan solat. Antara ayat di dalam al-Qur’an yang menekankan kewajipan bersolat ini ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan sembahyang.
(Surah Ibrahim: 31)
Dan dirikanlah solat, kerana sesungguhnya sembahyang (dapat) melarang daripada segala kejahatan dan kemungkaran.
(Surah al-Ankabut: 45)
Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba, mengeluh apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang yang sembahyang, yang berkekalan atas solat mereka.
(Surah al-Ma`raj: 19 – 23)
Sebaliknya, orang yang meninggalkan sembahyang akan mendapat dosa dan dikategorikan sebagai mereka yang terpedaya dalam ikutan hawa nafsu. Balasan kepada mereka yang meninggalkan sembahyang ialah dimasukkan ke dalam neraka. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat) , maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).
(Surah Maryam: 59)
Seksaan bagi mereka yang meninggalkan sembahyang
1. Kubur akan menghimpit mereka serapat-rapatnya sehingga berselisih tulang-tulang dada mereka.
2. Dinyalakan api di dalam kuburnya dan api itu akan membakar tubuh mereka siang dan malam tanpa berhenti-henti.
3. Muncul seekor ular yang bernama Sajaul Aqra dan ular itu berkata, “ Allah menyuruh aku membelasah engkau kerana engkau mensia-siakan sembahyang Subuh”. Mayat itu dipukul daripada waktu Subuh sehingga naik matahari, kemudian dipukul dan dihentak lagi hingga terperosok ke perut bumi kerana meninggalkan sembahyang Zuhur. Selepas itu dipukul lagi kerana meninggalkan sembahyang Asar. Begitulah seterusnya sehingga ke waktu Subuh semula. Seksaan oleh Sajaul Aqra itu akan berterusan dan berulang-ulang sehinggalah ke hari kiamat.
0 comments :
Post a Comment